Tolong Klik Di Sini

Monday, February 6, 2012

Buruk Sangka: Apa keperluannya?

Hidari buruk sangka


Buruk Sangka

Buruk sangka atau suuzon yang membawa maksud menaruh curiga kepada seseorang yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan. Islam sangat melarang umatnya berburuk sangka sesama Islam, kerana berburuk sangka akan mengundang malapetaka kepada orang tersebut. Biarlah syakwasangka itu berdasarkan bukti yang kukuh dan bukan sekadar memfitnah. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan orang-orang Yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki Yang beriman dan orang-orang perempuan Yang beriman Dengan perkataan atau perbuatan Yang tidak tepat Dengan sesuatu kesalahan Yang dilakukannya, maka Sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa Yang amat nyata.” (Al-Ahzab : 58)
Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka kepada sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristiqfar kepada Allah swt. Dosa orang yang berburuk sangka adalah besar dan perbuatan jahat, setiap perbuatan jahat Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Allah. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Orang yang berburuk sangka juga sama dosanya seperti memakan daging saudaranya yang telah mati. Jauhilah sifat penyakit hati ini, kerana ia juga dapat merugikannya juga. Kembalilah ke jalan Allah dengan sebenar taubat dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut.

Perkara buruk ini telah menjadi darah daging umat Islam sekarang ini terutama melayu Islam yang sentiasa iri hati dan bersangka buruk terhadap saudara Islamnya. Dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti yang kukuh. Malah orang yang bersangka buruk itulah yang diagungkan sebagai orang yang hebat dan bijak. Inilah petanda akhir zaman kerana umat Islam tidak lagi berbangga dengan kerja-kerja amalnya dan mereka merasa besar dan gah dengan dosa yang dilakukan oleh mereka. Jika perkara ini tidak ditegah, maka ia juga akan merugikan semua pihak dan mengundang bala Allah yang datang tidak mengira darjat, iman dan bangsa.


Asal orang buat sesuatu ja, mesti nak mengata..sangka buruk

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Contohnya lagi soal keselamatan diri, seperti yang ditanyakan di atas, ternampak orang yang tak dikenali berkeliaran di persekitaran perumah pada waktu malam. Ini bukan kita menuduh, tetapi kita mengambil sikap berjaga-jaga dari berlakunya musibah-musibah yang tak diingini. Perbuatan sangka buruk seperti ini diharuskan, kerana ia menjaga keselamatan diri dan harta kita.

Bersangka buruk terhadap prestasi pelajaran anak-anak, kerana mereka tidak membaca buku dan hanya main game dan menonton TV sahaja. Hasil dari sangka buruk tersebut, kita menghantar anak menghadiri kelas tusyen atau kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi anak tersebut. Maka di sini merupakan sangka buruk yang menguntungkan semua pihak.

Bersangka buruk terhadap pokok besar yang condong ke arah rumah kita, maka dengan sangka buruk tersebut kita mengupah orang untuk memotong pokok tersebut untuk menjaga keselamat rumah dan nyawa keluarga kita. Maka bersangka buruk seperti ini juga diharuskan. Pendek kata, bersangka buruk yang menguntungkan semua pihak tanpa mengorbankan pihak-pihak yang tertentu atau sebagai langkah keselamatan, adalah diharuskan untuk kepentingan semua pihak.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara. Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.



JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain.Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN , KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.
Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-
قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر
Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )




Berbaik Sangka
Kita harus sentiasa berbaik sangka



Untuk itu, kita lihat pula apa yang dikatakan berbaik sangka. Maksud Husnuzon adalah berbaik sangka kepada orang lain, ini adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam, kerana berbaik sangka ini lebih baik dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat. Kata Saidina Umar bin Al-Khattab ra :

“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.

Orang yang berburuk sangka seolah memfitnah orang, kerana buruk sangkanya tidak mempunya bukti yang kukuh, ini dikuatiri terjadinya fitnah, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain. Firman Allah yang bermaksud :“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (di akhirat) tentang apa Yang dilakukannya.”(Al-Isra : 36)


Fadhilat Berbaik Sangka

Hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, Ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia. Ini juga mengalakkan manusia itu berpecah belah antara satu sama lain dan ia juga akan merugikan manusia itu juga.

Mengelakkan daripada penyesalan dalam hubungan manusia sesama manusia kerana menuduh manusia lain tanpa bukti yang kukuh. Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat : 6)Selalu merasa bahagia atas segala kejayaan yang dicapai oleh orang lain walaupun kita sendiri belum berjaya. Ini bertujuan untuk mewujudkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya sendiri.

Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta

Tetapi ingat kalau kita melihat orang yang melakukan dosa atau kemaksiatan, kita bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar orang tersebut, maka kita akan menanggung saham dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut. Kerana Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekelilingnya dengan kemampuan yang ada pada kita. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju; tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". (Di riwayatkan oleh Imam Muslim)

Jelas di sini, bahawa Islam melarang umatnya menyokong perkara yang mungkar atau dusta, kerana perkara tersebut jelas melanggar hukum Allah dan larangan Allah. Contohnya kita melihat orang Islam di dalam kedai Sport Toto sedang membeli nombor ekor. Tetapi kita berbaik sangka kepada perbuatan orang Islam tersebut dengan mengatakan bahawa “itu jalan rezeki dia, biarlah…. dia juga nak cari makan”.

Cegahlah segala kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita dengan sedaya yang mampu, kalau mampu dengan tangan, maka ubahlah dengan tangan. Mampu dengan lidah, ubahlah dengan lidah, kalau dua-dua ini tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hati (tidak redho dengan perbuatan tersebut) dan inilah selemah-lemah iman.



KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.




Sumber:




No comments:

Post a Comment